Wednesday, March 4, 2009

5 MPV 2008-GOOD LUCK IN YOUR SPM RESULT

Masyarakat Ulul Albab : Modal Insan Terbaik

Langkah yang diambil oleh negara dengan mensasarkan pencapaian pembangunan menurut acuan dan bentuk tersendiri turut mencetuskan kecenderungan bagi melahirkan modal insan terbaik, juga menurut ciri-ciri yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan negara. Sememangnya modal insanlah yang menjadi tumpuan penting dalam perancangan pembangunan dan kemajuan kerana ia merupakan tenaga penggeraknya. Di tangan mereka inilah setiap langkah dan hala tuju digagaskan dan perancangan dilaksanakan. Berasaskan peranan penting modal insan inilah maka Islam memberikan penekanan lebih utama terhadap pembangunannya berbanding dengan pembangunan dari sudut fizikal. Alasannya begitu jelas, bahawa insan yang terbina akal fikiran dan jiwanyalah yang akan membina pembangunan fizikal yang menepati kehendak syari`at dan mengarahkannya kepada kebaikan. Ini kerana, dengan keutuhan rohani, kekentalan jiwa, ketajaman fikiran dan keteguhan sahsiah yang dimiliki, mereka benar-benar memahami isyarat perintah serta larangan daripada Tuhan mereka. Justeru itu, mereka sentiasa memastikan bahawa segala tindakan tidak sekali-kali melanggar sempadan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. dan sentiasa mengambil pengajaran atas apa yang menimpa umat terdahulu kerana mengingkari perintah-Nya. Semuanya kerana mereka meyakini jaminan yang diberikan oleh Allah s.w.t. bahawa Allah s.w.t. akan membuka pintu pengurniaan yang melimpah keberkatannya. (Surah al-A`raf 7 : 96) Insan yang bertanggungjawab dan beramanah dalam melaksanakan tugas penting ini sering kali dikaitkan dengan takrif dalam al-Qur'an sebagai mereka yang memiliki akal fikiran yang sempurna (Ulul al-Bab); iaitu golongan yang dikatakan dapat mengerti nilai sebuah kehidupan dan memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Dengan ketaqwaan dan kebijaksanaan yang dimiliki, mereka ini diyakini dapat membawa masyarakat kembali menghayati sepenuhnya kehidupan beriman dan beramal dengan manhaj serta syari`at Islam.

Program pembangunan akal yang teliti dan berkesan bagi membangunkan masyarakat atau generasi Ulul al-Bab kini dilihat begitu perlu kerana cabaran yang harus ditempuh bagi menjayakan impian besar ini bukanlah semudah yang dilafazkan. Pembentukan masyarakat Ulul al-Bab ini menuntut kegigihan dan kesungguhan setiap pihak yang terbabit; kepimpinan negara, institusi pendidikan dan keilmuan serta setiap lapisan masyarakat negara ini bagi memastikan bahawa usaha melahirkan masyarakat Ulul al-Bab tidak hanya tinggal menjadi harapan sahaja.

Program pendidikan yang baik dan menyeluruh yang dijadikan wahana bagi pembentukan masyarakat berilmu dan berakal sempurna ini haruslah mencakupi proses, kandungan dan penerimanya agar ketiga-tiga aspek ini diberikan tumpuan yang saksama serta mencukupi sehingga matlamat akhirnya dapat dicapai dengan mudah. Dengan kata-kata lain, dalam soal pendidikan, aspek serta hakikat kemanusiaan dan keinsanan pelajar perlulah turut diutamakan sehingga akhirnya segala bentuk ta'dib dapat dilaksanakan demi menjayakan isi kandungan kurikulum pendidikan yang disusun. Ta'dib yang turut melibatkan unsur serta pemupukan ilmu serta amal amat penting bagi seseorang pelajar bagi memastikan ia tidak tersilap dalam membuat penilaian dalam kehidupan. Sebaliknya, ia berupaya mendisiplinkan diri selain gigih berusaha memperoleh nilai yang suci lagi mulia bagi pemikiran serta jiwanya dan melakukan perkara yang baik serta menjauhi tindakan atau tingkah laku yang buruk.

Dalam bukunya, "The Concept of Education in Islam", Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa setiap manusia tidak ubah seperti sebuah kerajaan. Ia merupakan penghuni dalam kota dirinya sendiri dan di situlah digubal agama (din)nya. Disebabkan dalam Islam, matlamat mempelajari ilmu adalah untuk menjadi insan yang baik atau mulia, dan bukan warga negara yang baik, sebagaimana yang diterima oleh tamadun barat, maka sistem pendidikan dalam Islam seharusnya mencerminkan insan dan bukannya negara.
Kegemilangan yang dicapai oleh golongan bijak pandai, cendekiawan dan sarjana Islam pada zaman awal tentunya berasaskan hikmah dan kebijaksanaan mereka menggabungkan ilmu dengan amal dan adab lalu menanggap gabungan yang amat harmoni ini sebagai pendidikan. Selain penggabungan bijak dan berkesan ini, keterbukaan umat Islam zaman terawal ini terhadap usaha mendapatkan ilmu di serata pelosok dunia; timur dan barat telah turut memberikan kesan memberansangkan terhadap pembinaan tamadun serta pencapaian ilmiah mereka. Keterbukaan itu telah membuka ruang yang amat luas bagi sarjana-sarjana agung Islam ini mengembangkan semula segala bentuk warisan tamadun manusia sejagat yang diterima. Kecintaan sarjana awal tamadun Islam ini terhadap ilmu sebenarnya didorong oleh pegangan murni Islam terhadap ilmu selain gesaan al-Qur'an supaya umat Islam berfikir dan meneliti segala bentuk kejadian; alam, haiwan, bahkan juga diri mereka sendiri. Gesaan ini telah mengukuhkan lagi naluri ingin tahu yang ada dalam diri mereka lalu terpancarlah perkembangan semula dan penerokaan baru ilmu-ilmu ini. Antara tujuannya untuk melihat apakah kesan yang ditinggalkan oleh mereka dalam bidang yang berkenaan untuk masyarakat sesudah mereka.
Antara cendekiawan dan sarjana agung yang menyerlahkan kecemerlangan sebagai modal insan terbaik bagi peradaban Islam termasuklah Ikhwan al-Safa', sebuah pertubuhan yang dibentuk di Basrah pada permulaan abad ke-4 Hijriyyah. Apa yang menarik tentang usaha dan sumbangan kumpulan ini ialah ketajaman akal fikiran dan kesedaran mereka tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap masyarakat ketika itu. Ikhwan al-Safa' berpendapat bahawa pertentangan sosial, ekonomi dan politik yang berlaku di bawah pemerintahan `Abbasiyyah sebenarnya disebabkan oleh perbezaan aliran, mazhab dan keturunan. Berdasarkan pandangan inilah, mereka berusaha menghapuskan perbezaan-perbezaan tersebut melalui sebuah kesatuan yang merangkumi semua aliran dan mazhab yang ada. Dalam melaksanakan penyatuan ini, mereka mengambil segala nilai yang dianggap baik dan munasabah daripada setiap mazhab dan falsafah. Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan dan usaha yang dilakukan oleh mereka yang mencetuskan kemelut. Namun apa yang penting, Ikhwan al-Safa' berusaha menyeru agar dibentuk kehidupan dalam sebuah negara kerohanian yang berasaskan pemilikan ilmu dan harta secara bersama. Mereka berharap dalam negara seperti itu akan wujud persaudaraan, budaya nasihat-menasihati dan bentuk kehidupan yang murni.

Menghayati pendekatan sarjana-sarjana Islam silam yang boleh ditakrifkan sebagai golongan Ulul al-Bab mewakili masyarakat mereka, memberikan kita isyarat yang jelas bahawa hasrat membentuk kumpulan masyarakat seumpama dengannya haruslah berasaskan matlamat yang jelas dan usaha yang bersepadu. Dengan kata-kata lain, seharusnya usaha satu pihak membentuk golongan ini dengan mewujudkan segala kemudahan dan perancangan serta menyemarakkan budaya serta nilai mulia tidak terhalang oleh usaha pihak lain yang menyemai budaya dan unsur-unsur negatif yang akhirnya menggagalkan impian murni ini. Demikian juga persediaan haruslah dilakukan dengan teliti, bukan sahaja dengan perancangan yang teliti tetapi juga kesediaan untuk melakukan perubahan akal fikiran serta sikap yang akan membawa kita dan masyarakat seluruhnya menuju kejayaan.

TINGKATAN 5 MPV 2006